0 'Lautan merah' kuasai Stadium Nasional

Sumber Utusan Malaysia Online

KUALA LUMPUR - 'Lautan merah' penyokong Kelantan menenggelamkan sorakan penyokong Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


Kehadiran penyokong 'Hoben Jang Hoben' hanya sekitar 30,000, jelas tidak dapat menandingi jumlah penyokong Red Warriors seramai 60,000 orang.

'Gelombang merah' ribuan penyokong Kelantan tiba di di pekarangan Stadium Nasional seawal pukul 8 pagi dan mendahului memenuhi ruang stadium bermula pukul 4 petang.

Keghairahan penyokong Kelantan sukar dibendung kerana sebaik pukul 7.30 malam, bahagian tempat duduk yang dikhaskan untuk mereka, telahpun dipenuhi 'lautan merah'.

Sementara kebanyakan penyokong Negeri Sembilan pula memilih untuk datang sedikit lewat, iaitu kira-kira setengah jam sebelum perlawanan bermula yang pada pukul 8.45 malam.

Walaupun kalah dari segi jumlah bilangan, penyokong Negeri Sembilan tetap bersemangat ditambah kehadiran kumpulan gendang mengiringi sorakan Hoben Jang Hoben.

Penyokong Red Warriors yang banyak mendiamkan diri pada mulanya, tiba-tiba gamat apabila pemain Kelantan melangkah ke dalam padang untuk melakukan latihan ringan.

Apa yang menarik, penyokong Kelantan dan Negeri Sembilan bersama-sama melakukan 'gelombang Mexico' atau Mexico wave, membuktikan semangat kesukanan di antara kedua-dua penyokong.
 

kkawan blogspot 2013 Copyright © 2013 - |- Template created by PaksuTrubo - |- Powered by Blogger Templates