Asalamualaikum!
Soalan,
Bagaimana status hadis yang menyatakan bahawa wanita yang mengizinkan suaminya
berpoligami akan diberikan ganjaran payung emas di syurga?
Bagaimana pula status hadis-hadis lain (jika ada) berkenaan kelebihan berpoligami?
Jawapan,
wa'alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan silek dengan kadar kemampuan yang
ada, Insya-Allah
Tidak pula saya berjumpa dengan hadith-hadith sahih mengenai ganjaran wanita yang
mengizinkan suami berpoligami diberikan payung emas di syurga.
Bagi wanita solehah yang ta'at kepada suami, faham akan kebenaran agama terhadap
poligami dan bersabar diatas kerenah suami, sudah tentu akan mendapat ganjaran
daripada Allah swt.
Sudah tentu ganjaran yang terbaik bagi seorang isteri adalah balasan syurga.
Dialam sebuah hadith Nabi saw bersabda :-
"Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa bulan bulannya (Ramadhan),
mengawal kemaluannya dan ta'at kepada suaminya, akan dikatakan kepadanya :
Masuklah ke Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki"
[Hadith Ibn Hibban].
Allah swt amat suka kepada hamba-hambanya yang bersabar dan akan memberi
ganjaran kepadanya. Segala dugaan, rintangan, kekecewaan yang di hadapi dengan
redha, Allah swt tidak mensia-siakan hambanya Dari Abu Hurairah ra.,
Nabi saw bersabda :-
"Tidak ada kesukaran, penyakit, kekecewaan, luka, dugaan yang menimpa orang Islam,
sehinggakan sekeping duri yang mencucuk dia, Allah swt akan mengkifarahkan baginya
kesalahan-kesalahan".
[Hadith Riwayat al-Bukhari)
Didalam hadith yang lain, Nabi saw bersabda :-
"Bala' akan terus menimpa orang yang beriman baik lelaki dan wanita, pada diri mereka,
anak-anak mereka dan harta-harta mereka, sehingga dia bertemu Allah tanpa ada dosa
keatasnya" [Hadith Riwayat al-Tirmudzi]
Demikianlah ganjaran umum kepada seseoramg isteri yang membenarkan suaminya
berpoligami, cuma tidak terdapat hadith-hadith yang khusus seperti ganjaran payung
emas.