0 Gambaran Hari Qiamat


Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk
besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail &
beberapa malaikat yang lain.
Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan
akhirnya nyawanya sendiri.

Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan
siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri
menjawab dengan keagunganNya
"Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan
kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal
Hidup, tidak mati.

Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup
sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi
putih, berupa padang Mahsyar
(umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti
bumi.

Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi"
yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak
pokok yang kembang membesar dari biji
benih.

Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina.
Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan
bimbang tentang nasib & masa depan yang akan
mereka hadapi kelak.

Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang
menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah
mereka menggunakan
tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang
amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu,
ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk
memikirkan nasib mereka.

Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan
cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah
huru-hara yang amat
dahsyat.

Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah
malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat
saiz malaikat yang besar dan suaranya
yang menakutkan.

Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga
dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka.
Ulama berkata jika matahari naik di
bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi
terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka
rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi
lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan
masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang
mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja.
Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika
diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi
empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum
dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk
dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan
yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata
"Aku takut pada Allah".

ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya
kerana takutkan Allah.

Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak
tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka
terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun
pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa
dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s
menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka
kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim
a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti
Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa
antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu
diperkenankan doa baginda.

Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan
hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu
terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang
malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun)
sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba
dibumi.

'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat)
yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat
yang besar dan gagah. Dalam
bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang
menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang
menghijab cahayanya yang sangat kuat.

Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh
4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy
umpama
cincin ditengah padang .. Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang
terletak dihadapan istana.

Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan
timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun
dari bawah Arasy
menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga
mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh
malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang
kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim.
Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan
yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang
pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan
mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan
tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan
mukmin.

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca
Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan
2 daun. Daun yang bercahaya untuk
menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk
menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka
seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan
ditimbang.

Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata,
kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di
adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha
Bijaksana.

Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk
menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah
seluruh makhluk berpuas hati dan
dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan
hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan
untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini
berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000
orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga
melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang
terbentang dibawahnya neraka. Lebar
jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia
lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan
dimudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun.
5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk
yang melintasinya
seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan
kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa
menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk
yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja
yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini
kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝
Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila
matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya
bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.

② Doa anak²nya yang soleh.

③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

sumber: Amar Sufi
 

kkawan blogspot 2013 Copyright © 2013 - |- Template created by PaksuTrubo - |- Powered by Blogger Templates