0 Mengapa saya mencintai Islam?
Pendahuluan
Firman Allah S.W.T : Al-Baqarah [2] : 255
Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.
Pengenalan
Surah Al-Hajj [22] : 78
"..Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia.."
Perkataan Islam berasal dari bahasa arab ertinya sejahtera, aman, harmoni dan dirujuk dari istilah yang memberi makna menyerah diri kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa dengan mentauhidkan sepenuhnya dengan keyakinan serta melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan larangan-Nya.
Dalam riwayat Imam Al-Bukhari (hadis bernombor 42), seseorang bertanya kepada Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam (saw), “Apakah ertinya Islam?” Rasulullah saw bersabda, “ Islam, iaitu menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya, menegakkan solat, membayar zakat dan puasa Ramadan.”
Surah Al-Maidah [5] : 3
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.
Saya mencintai Islam kerana;
Islam membawa berita gembira pada saya
Islam adalah cara hidup yang benar-benar diperlukan oleh setiap manusia yang inginkan kehidupan yang bahagia seterusnya ke arah masyarakat yang harmoni.
Adakah satu kitab yang menghimpunkan ilmu, sejarah peradaban, akhlak dan adab, perdagangan, kejadian bangsa-bangsa terdahulu, makanan dan minuman, undang-undang, hukuman dan pelbagai lagi berkaitan dengan kehidupan untuk kita jadikan pelajaran? Belum lagi dikira kehidupan sebelum kehidupan dan kehidupan selepas mati.
Firman Allah S.W.T : Al-Fussiliat : 3-4
Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang beriman) dan membawa amaran (bagi orang yang ingkar).
Sejarah membuktikan sebelum datangnya Islam, manusia hidup penuh huru-hara. Undang-undang buatan mereka hanya agak-agak sahaja, sehingga anak-anak perempuan dibunuh, wanita datang haid hendaklah diasingkan, orang yang beribadah tidak boleh berkahwin dan sebagainya.
Firman Allah S.W.T : Az-Zukhruf : 3-4
Sesungguhnya Kami menjadikan Al Qur'an dalam bahasa Arab supaya kamu memahami (nya). Dan sesungguhnya Al Qur'an itu dalam induk Al Kitab (Lohmahfuz) di sisi Kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandung hikmah.
Firman Allah S.W.T : Al-Qamar : 17
Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Datangnya Islam membawa lembaran baru buat manusia, bukan sahaja membawa perubahan dalam ibadah, tetapi juga sistem pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan sosial kemasyarakatan sehingga membentuk sebuah tamadun.Tamadun Islam. Itulah yang dimaksudkan dengan berita gembira iaitu; memisahkan antara haq (benar) dengan yang bathil.
Islam membantu saya membezakan kebenaran (haq) dan kebatilan
Kekuasaan Allah Yang Maha Pemurah dapat dilihat di mana-mana. Seluas mata memandang ke langit, lautan dan bumi, maka setiap satunya terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Di langit,
Firman Allah S.W.T : Ar-Ra’d : 2
Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.
Adakah kekuatan lain yang meninggikan langit tanpa tiang? Adakah batu (musyrik) yang boleh ditinggikan menopang langit? Adakah wang ringgit (taghut) mampu membuat tiang setinggi langit?
Di lautan,
Firman Allah S.W.T : An-Nahl : 14
Dan Dia-lah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
Kita juga disuruh mencari rezeki yang halal. Salah satu kurniaan Allah S.W.T adalah dari dalam lautan. Baik dari segi makanan mahupun perhiasan, semua boleh diniagakan untuk mendapat keuntungan daripada merompak, memeras dan kekejian yang lain.
Di bumi,
Firman Allah S.W.T : An-Nahl : 15
Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.
Siapakah yang memasakkan bumi ini dengan gunung agar daratan dan lautan tidak turut berpusing dan berkocak ketika bumi berputar pada paksinya? Adakah ini terjadi secara kebetulan (Atheis)?
Firman Allah S.W.T : Al-Baqarah : 256
Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.
Kebenaran Al-Quran Dari Setiap Aspek
Kebenaran dan kebatilan telah jelas, segala dalil dan buktinya dapat diperhatikan dimana-mana, di sekeliling dan juga pada diri kita sendiri. Tetapi, kenapa mesti Al-Quran? Kenapa orang Islam selalu menjadikan Al-Quran sebagai dalil dan contoh? Kalau Taurat dan Injil dari Allah, tentu kita boleh menggunakannya juga? Bagi saya jawapannya merupakan satu soalan, iaitu;
Kenapa tiada kitab lain diturunkan selepas Al-Quran?
Semua manusia mengakui (kecuali Atheis dan penyembah Tagut, namun jauh di sudut hati mereka tetap mengakui kewujudan Pencipta yang Maha Agung) akan kebenaran kitab Taurat, Injil dan Al-Quran sehingga mustahil seluruh penduduk bumi yang mengakui akan turunnya kitab dari langit ini (kitab samawi), berpakat bersama akan kebenarannya. Maksudnya, mustahil 3.7 billion manusia dapat berpakat bersama ‘menipu’ akan kebenaran kitab-kitab samawi ini.
Diingatkan sekali lagi, adalah mustahil seluruh 3.7 billion manusia berpakat untuk menipu. Dibawah adalah data kependudukan manusia di bumi pada tahun 2009 dan 2010. Saya ‘copy and paste’ terus dari Google.
Penduduk Bumi
As of June 2010, world population is estimated at 6,827,100,000 people. More or less.
Islam
As of October 2009, there are about 1.57 billion Muslims of all ages living in the world today (in more than 200 countries of the world). This represents 23% of an estimated 2009 world population of 6.8 billion people.
Kristian
There are just over 2.1 billion that claim to be Christian around the world. 36.5 percent of the population are Christian.
Bunches and bunches, but understand the word Christian is a much mis-used and maligned word. In actuality, a Christian is Christ-like. Many people followed Christ but few were with him.
Yahudi
About 16 million Jews in the sense of adherents of Judaism.
Ini kebenaran yang tidak dapat disanggah, jika anda hendak mempertikaikan data ini; anda boleh mengira sendiri. Tapi itu bukan persoalannya. Persoalannya adalah, pernahkah kita terfikir kenapa ada kitab lain selepas Taurat? Kenapa ada kitab lain selepas Injil? Tetapi, kenapa tiada lagi sesudah Al-Quran?
Firman Allah S.W.T : Al-Maidah : 3
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.
Firman Allah S.W.T di atas adalah jawapan mengapa tiada lagi kitab selepas Al-Quran. Turunnya Al-Quran menandakan kesempurnaan kehidupan yang diperlukan oleh manusia melalui; secara bertahap (suhuf-suhuf, Taurat dan Injil) atas kehendak Allah yang Maha Agung secara mutlak. Ini juga menjadi dalil tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad S.A.W.
Tapi, tidak cukupkah kitab Taurat dan Injil itu? Kenapa mesti diturunkan Al-Quran? Apakah yang menyebabkan turunnya Al-Quran itu? Apakah yang telah dilakukan oleh orang Yahudi sehingga diturunkan Injil? Apa pula yang telah dilakukan oleh penganut Kristian sehingga diturunkan Al-Quran?
Firman Allah S.W.T : Al-Maidah : 15
Hai Ahli Kitab (ahli Taurat dan Injil), sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami (Nabi Muhammad s.a.w) menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan (Al-Quran).
Ayat diatas diterangkan kepada kita bahawa kitab Taurat dan Injil telah diubahsuai mengikut hawa nafsu dan kerana itulah diturunkan Al-Quran sebagai kurniaan rahmat kepada seluruh alam, manusia khususnya.
Firman Allah S.W.T : Al-Hijr : 9
Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.
Manakala Al-Quran pula telah dijamin oleh Allah yang Maha Agung agar tidak diubahsuai oleh sesiapapun tidak kira manusia mahupun jin kerana Allah yang Maha Agung sendiri yang memeliharanya.
Islam mengajar saya tentang akhlak pergaulan
Kedatangan Islam dalam kehidupan telah memberi ilmu tentang akhlak yang terpuji. Dahulu, kebanggaan kekayaan menjadi bualan, umpatan dan kejian menjadi mainan, kemudian datanglah Islam memberi ketenangan.
Firman Allah S.W.T : Al-Humazah : 1-4
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya, sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.
Berhati-hatilah sesiapa yang suka mengumpat, mengeji dan yang mencari harta sehingga lalai pada perintah Allah, kerana Allah S.W.T menjamin (neraka) Huthamah. Nabi S.A.W bersabda, orang yang kita ceritakan keburukannya itu adalah umpatan. Jika tidak benar dipanggil fitnah, jika benar dipanggil mencela.
Melalui Al-Quran juga Allah S.W.T menyuruh hamba-Nya berbuat baik pada ibu-bapa, keluarga, jiran dan seluruh masyarakat tidak kira Islam mahupun bukan Islam (yang tidak memerangi Islam).
Firman Allah S.W.T : An-Nisa’ : 36
Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.
Dilarang sama sekali bersikap sombong, meninggikan diri yang sama sikapnya dengan syaitan yang dilaknat dan kekal dalam neraka ketika enggan sujud dan patuh pada perintah Allah yang Maha Agung.
Pergaulan yang mesra akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan kepercayaan pada kita. Janganlah bercakap sesuatu yang menimbulkan provokasi dan sesuatu yang tidak disukai, seperti mencela perbuatan, idea, tindakan dan apa yang boleh menjatuhkan maruahnya kerana kita tidak tahu isi hati orang lain dan apa yang difikirkannya.
Selain itu, janganlah pula kita mudah sangat berasa tersinggung dengan apa yang orang lain katakan pada kita, kerana manusia memang perlukan pujian dan kritikan. Pujian bagi meningkatkan motivasi dan kritikan dapat membendung perasaan kagum dan riak.
Ini salah satu saja, sila rujuk kitab (Nashaihul ‘Ibad – Imam Nawawi) banyak lagi yang boleh dipelajari.
Islam diikat dengan kasih sayang persaudaraan
Umat Islam semua bersatu padu di bawah kalimah Laa ilaa ha il lallah, muhammadur rosulullah dan menghadap kiblat yang sama. Persaudaraan ini terjalin atas kasih sayang yang murni melalui Al-Quran.
Firman Allah S.W.T :Al-Hujuraat : 10
Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.
Firman Allah S.W.T : An-Nisa’ : 1
Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.
Allah S.W.T juga menjanjikan rahmatnya pada sesiapa yang mendamaikan pertelingkahan sesama kita. Sebaliknya pula, kita dilarang memutuskan tali silaturrahim dengan ancaman dilaknati dan dimatikan hatinya agar tidak dapat mendengar dan memahami Al-Quran.
Firman Allah S.W.T : Muhammad : 22-23
Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.
Hadis : ……..sayangilah penduduk bumi, nescaya kalian disayangi penduduk langit……. (Imam Ahmad, dinukil dari tafsir Ibn Katsir)
Islam mengajar saya menghargai waktu
Tiada siapa yang lebih berdisplin daripada orang yang menjaga waktu solatnya. Secara tak langsung pengamalan menjaga waktu solat ini terbawa dalam kehidupan seharian dalam menghargai waktu.
Firman Allah S.W.T : Al-‘Asr : 1-3
Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
Imam As-Syafi’I berkata : “Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini, nescaya surah ini mencukupi bagi mereka.”
Dibawah adalah antara hadis menganai ‘masa’ yang paling umum dan paling ramai orang menghafal, tapi paling sikit yang ambil iktibar. Ini kerana kita lebih suka mendengar apa yang dikatakan oleh orang bukan Islam dari Nabi S.A.W, kemudian cuba mengait-ngaitkannya dengan Islam atau Al-Quran kononnya Islam sudah tahu berkurun-kurun dahulu. Ini adalah antara punca orang benci kepada Islam, sepatutnya kitalah yang pertama merungkai perkara itu (Contoh : Sains, Psikologi, Astronomi dan pelbagai lagi). Sila rujuk artikel ‘Muhkam dan Mutasyabih’ dalam blog ini.
Hadis : Ambillah peluang yang lima, sebelum lima : Masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, hidup sebelum mati dan lapang sebelum sibuk.
(Al-Hakim dan Al-Baihaqi, dinukil dari Nashaihul ‘Ibad)
Hadis ini benar-benar menyuruh kita agar memanfaatkan masa dan mencakupi seluruh faktor kehidupan, dari akil baligh hingga mati. (Mengenai masa perlu perbincangan yang luas dan artikel akan datang adalah, Pengurusan Masa – Hanya Empat Golongan yang Mampu Mengurusnya).
Islam membantu saya menenangkan hati
Al-Quran yang diturunkan bukan sahaja menjadi peringatan dan petunjuk, malah boleh juga dijadikan penawar baik dari segi zahir dan batin. Penawar bagi keresahan, ketakutan, kegelisahan selama ini yang bertumpuk-tumpuk, dengan mudah hilang dengan Al-Quran.
Firman Allah S.W.T : Ar-Ra’d : 28
(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.
Mengingat Allah yang Maha Agung itu banyak, antaranya melihat langit, burung, hujan dan alam ini khususnya, seraya memikirkan akan penciptaan Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T : Az-Zumar : 23
Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al Qur'an yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit, orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu. Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.
Tidak perlu kita susah-susah mencari ketenangan diri dengan minum arak, dadah, berbuat maksiat dan sebagainya atau beralasan membuat sesuatu yang bukan-bukan (sia-sia) bagi mencari keseronokan atau ketenangan kerana tidak semua perkara yang harus itu boleh dilakukan. Apa yang diperlukan, amalkan membaca Al-Quran setiap hari, sesungguhnya Allah yang Maha Agung tidak memungkiri janji.
Islam mengajar saya erti menepati janji
Umat Islam disuruh mengotakan janjinya apabila berjanji. Melaksanakan sesuatu dengan keikhlasan demi menjaga sebuah perhubungan.
Firman Allah S.W.T : Al-Ahzab : 23
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya),
Betapa pentingnya menepati janji sehingga Allah yang Maha Agung menggelarkan orang yang menepati janji adalah ‘mukmin’ (orang yang beriman) manakala orang yang mempermainkan janji digelar munafik (rujuk beberapa ayat selepas itu), kecuali mereka yang bertaubat.
Sebenarnya kita bukan sahaja dituntut menepati janji sesama manusia, malah janji kita kepada Allah yang Maha Agung lebih-lebih patut kita tepati.
Firman Allah S.W.T : Al-Maidah : 7
Dan ingatlah kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: "Kami dengar dan kami taati". Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui isi hati (mu)..
Islam menjamin hak asasi manusia
Saidina Abu Bakar r.a ketika awal pemerintahannya, telah mengisytiharkan perang terhadap orang yang mengingkari membayar zakat. Islam adalah pelopor (yang pertama) dalam memperjuangkan hak orang miskin.
Beliau juga mengatakan tentang melarang orang yang bersikap perkauman dan perhambaan, “Mengapa hendak engkau perhambakan manusia, padahal dia dilahirkan ibunya dalam keadaan merdeka?”
Begitu juga hak wanita, kanak-kanak, orang tua, ibu bapa, orang bukan Islam dan segenap lapisan masyarakat mempunyai hak masing-masing, sehinggakan hak kepada orang mati pun ada dalam Islam.
Hadis : Apabila seseorang mengkafani mayat saudaranya (se-Islam), hendaklah ia mengkafani dengan baik. (Riwayat Bukhari)
Hadis : Janganlah kamu mencaci maki orang yang sudah mati. Sebab mereka telah melewati apa yang telah mereka kerjakan. (Riwayat Bukhari)
Firman Allah S.W.T : An-Nisa’ : 58
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran ini Allah S.W.T menyuruh kita menyampaikan hak-hak manusia dengan adil. Begitu banyak hadis tentang hak ini.
Hadis : Hak muslim terhadap muslim ada lima : 1. menjawab salam 2.menjenguk orang sakit 3. menghantar ke kubur 4. memenuhi undangan 5. mendoakan bila bersin. (Riwayat Bukhari)
Penutup
Firman Allah S.W.T : An-Nisa’ : 135
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biar pun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran.
Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.
Kita sebagai umat yang dipilih dijadikan ‘role model’ pada umat yang lain. Kita diperhati. Berdasarkan perilaku, pemikiran dan perbuatan kita sekarang, adakah orang bukan Islam mahu masuk Islam kerananya?
Marilah kita bersama berdoa agar Allah S.W.T memberi petunjuk, hidayah dan menyatukan hati semua umat Nabi Muhammad S.A.W. Saya berharap agar sama-samalah kita jadikanlah doa ini dalam waktu solat kita disamping doa kita pada diri sendiri. Amin.
Firman Allah S.W.T : Ali Imran : 20
Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi Al Kitab dan kepada orang-orang yang ummi: "Apakah kamu (mahu) masuk Islam?" Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajiban kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
Surah Al-Baqarah [2] : 143
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
KATEGORI:
renungan