Di hari permulaan Syaaban Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu kenapa
dinamakan bulan ini dengan ‘Syaaban’?” Para sahabat menjawab: “Allah SWT dan
RasulNya lebih mengetahui.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kerana bercambah di
dalamnya kebaikan yang banyak.” (Uthman al-Said al-Syarqawi, Makanah al-Zikr baina
al-‘Ibadat, p. 186).
Syaaban adalah bulan ke-8 daripada bulan-bulan hijriah. Banyak hadis yang
menceritakan bahawa Rasulullah SAW sangat tekun dalam melakukan amalan-amalan
yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti memperbanyakkan solat,
berpuasa, berzikir, membaca al-Quran, sujud dan lain-lain di bulan ini. Perkara tersebut
dilakukan Rasulullah SAW kerana persediaan dan bertujuan untuk membesarkan
Ramadhan yang bakal tiba.
Para ulama berpendapat bahawa amalan sunat yang paling utama (afdal) iaitu amalan
yang hampir dengan amalan yang wajib (fardu). Oleh itu, puasa sunat yang paling afdal
ialah puasa sunat yang dilakukan sebelum dan sesudah Ramadhan. Ini kerana ganjaran
amalan sunat seperti ini kedudukannya berada sesudah ganjaran atau pahala amalan
wajib. Sepertimana pahala solat sunat sebelum sesudah solat fardu (rawatib) menjanjikan
pahala yang tinggi berbanding pahala solat sunat yang lain.
PUASA DI BULAN SYAABAN
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Saidatina Aishah RA: “Aku tidak pernah
melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan kecuali ketika Ramadhan dan
aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak bilangan harinya
kecuali ketika Syaaban.”
Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita mencontohi Rasulullah SAW dengan
memperbanyakkan puasa sunat di bulan ini. Sekurang-kurangnya dapat kita berpuasa
pada hari Isnin dan Khamis di bulan Syaaban ini. Dan dalam kita mendapatkan kelebihan
berpuasa di bulan ini kita juga turut mendapat kelebihan berpuasa Isnin dan Khamis.
Berkenaan puasa Isnin dan Khamis banyak hadis diriwayatkan. Di antaranya hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW ketika
ditanya puasanya pada hari Isnin, Baginda SAW bersabda: “Pada hari itu aku dilahirkan,
aku diutuskan sebagai rasul dan diturunkan al-Quran kepadaku.” Diriwayatkan oleh
Imam al-Tarmizi, daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: “Dipamerkan
segala amalan pada hari Isnin dan Khamis dan aku suka bahawa amalanku dipamerkan
sedang aku berpuasa.”
Mengenai berpuasa di hari Nisfu Syaaban, ianya bukanlah perkara yang dilarang tetapi
termasuk di dalam waktu yang disunatkan berpuasa iaitu pada Hari Putih (Ayyam al-
Bidh; 13, 14, dan 15 hari bulan pada setiap bulan). Tambahan pula ada hadis yang
menyebut secara khusus berkenaan puasa di siang hari Nisfu Syaaban.
PERISTIWA PERALIHAN KIBLAT
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 142 yang bermaksud:
“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya
yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya
selama ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan
Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita
mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus".
Setelah enam atau tujuh belas bulan hijrahnya Nabi Muhammad SAW dan kaum
muslimin ke Madinah. Mereka bersolat berkiblatkan Masjid al-Aqsa. Kaum Yahudi
Madinah waktu itu terus mendakwa bahawa Islam tiada lainnya dari Agama Yahudi
kerana berkiblatkan arah yang sama. Maka setiap kali solat, Baginda SAW kerap kali
berulang-ulang menengadah ke langit memohon perkenan dan menanti turunnnya wahyu
peralihan kiiblat. Dengan rahmat dan kasih sayangNya, maka Allah SWT
memerintahkan agar Baginda SAW beralih kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Masjid al-
Haram. Ketika itu Baginda SAW sedang mengimamkan solat Zohor di Masjid Bani
Salamah di Quba. Yang mana dua rakaat yang pertama berkiblatkan Masjid al-Aqsa dan
dua rakaat yang kedua berkiblatkan Masjid al-Haram. Setelah peristiwa itu, masjid
tersebut dinamakan Masjid al-Qiblatain. Peristiwa ini berlaku pada hari Selasa Nisfu
Syaaban dan dirakamkan di dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 142 sehigga ayat 145.
MALAM NISFU SYAABAN
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Dukhan ayat 4 yang bermaksud: “Pada malam
yang berkat itu, dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap
berlaku.” Ikrimah dan para mufassir lainnya mengatakan bahawa yang dimaksudkan
malam itu ialah Malam Nifsu Syaaban walaupun pendapat yang sahih ianya ialah Lailatul
Qadar (Ibn Rajab al-Hanbali, Lataif al-Ma’arif, p. 268).
Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dan Al-Baihaqi daripada Saidina Ali RA, sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila tiba Malam Nisfu Syaaban, hendaklah kamu
mendirikan (solat sunat) pada malam harinya dan berpuasa pada siang harinya.
Sesungguhnya rahmat Allah Taala akan turun ke langit dunia pada malam tersebut dan
Allah akan berfirman: “Tidak adakah seseorang yang memohon keampunan semoga Aku
mengampuninya? Tidak adakah seseorang yang memohon rezeki semoga Aku
memberikan rezeki kepadanya? Tidak adakah seseorang yang ditimpa bala semoga Aku
menghindarkan bala itu daripadanya? Ianya berterusan sehingga terbit waktu fajar.”
Imam Syafie berkata: “Telah sampai kepada kami bahawa doa akan dimakbulkan pada 5
malam; Malam Jumaat, Malam Dua Hari Raya, Malam Awal Rejab dan Malam Nisfu
Syaaban.” (Lataif al-Ma’arif, p. 264).
Mengenai menghidupkan Malam Nisfu Syaaban, para tabien Syam seperti Khalid bin
Ma’dan, Makhul dan Luqman bin Amir adalah di antara tokoh-tokoh yang membesarkan
Malam Nisfu Syaaban dan bersungguh-sungguh menghidupkannya dengan amal ibadat.
Mereka menghidupkan Malam Nisfu Syaaban ini secara berjemaah di masjid dengan
memakai pakaian yang terbaik, berwangi-wangian dan bercelak. Ishaq bin Rahawiyyah
menakalkan dari Harb al-Kirmani bahawa menghidupkannya di masjid secara berjemaah
bukanlah perkara bidaah. Sebaliknya di sana iaitu ulama Hijaz mengingkari perbuatan ini
dan mengatakannya bidaah. (Lataif al-Ma’arif, p. 263). Wallahu a’lam.