Diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar Abdul Aziz
SAYA telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih 20 tahun. Pelbagai
pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu, macam-macam jenis mayat
saya uruskan. Ada yang meninggal dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit
jantung, bunuh diri dan sebagainya.
Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di
sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu mendedahkan
saya pada satu kes yang cukup 'istimewa'. Sepanjang saya menguruskan jenazah
inilah kali pertama saya bertemu dengan satu jenazah yang cukup aneh,
menyedihkan, menakutkan dan sekali gus memberi banyak iktibar.
Peistiwa itu berlaku dua hari lagi sebelum pilihan raya. Nama tempat dan
nama orang yang meninggal tidak dapatlah saya nyatakan di sini. Ia terjadi
secara kebetulan ketika saya diminta oleh anak Allahyarham menguruskan
jenazah bapanya.
Pada hari itu, saya pergi ke rumah seorang sahabat untuk mengubatkan mata
ibunya bagi kali yang terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu tadi sembuh
dan boleh baca al-Quran.
Tetapi apabila saya hendak balik, anak Allahyarham datang dan menemui
sahabat saya tadi dan bertanya sama ada saya boleh menguruskan jenazah atau
tidak. Kawan saya kata, dia tidak tahulah, tapi cuba tanya saya sendiri.
Tapi kawan saya kata, dua bulan yang lepas saya baru sahaja mengadakan
kursus pengurusan jenazah di tempat itu.
Anak Allahyarham datang menemui saya. Saya bersetuju kerana jenazah tidak
elok dibiarkan lama-lama. Saya pun pergi ke rumahnya. Tetapi apabila saya
masuk ke rumah Allahyarham, saya dapati bau jenazah itu sangat berlainan.
Baunya cukup pelik dan sangat busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah
tapi tidak pernah saya betemu dengan mayat sebusuk ini.
Apabila saya tengok wajah Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya
tengok wajahnya seperti sedang dirundung oleh macam-macam perasaan... takut,
cemas,kesal dan macam-macam lagi. Wajahnya sepeti tidak mendapat nur
daripada Allah.
Kemudian saya pun ambil kain kapan yang dibeli oleh anak Allahyarham dan
saya potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang yang
telah mengikuti kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya
ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju.
Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk
makluman pembaca, apabila memandikan jenazah, badan mayat itu perlu
dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut-urut untuk membolehkan
najis keluar. Maka saya pun urut-urutkan perut Allahyarham.
Tetapi apa yang berlaku pada hari itu sangat mengejutkan. Allah itu Maha
Berkuasa kerana pada hari tersebut najis tidak keluar daripada dubur mayat
tadi, tetapi melalui mulutnya. Lain macam saja ni, fikir saya. Lalu saya
ubah sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya urut-urut lagi perutnya.
Tetapi najis keluar lagi dari mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang
sedang berlaku di depan saya ini?
Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis, saya harap ia tidak akan
berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali terakhir.
Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Apabila saya urut perutnya, keluarlah
daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup.
Ulat itu adalah seperti ulat najis. Warnanya putih. Dari mana datangnya ulat
itu, jangan tanya saya.
Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit jantung dan waktu
kematiannya dengan waktu saya menguruskannya cuma lima jam setengah sahaja
jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh singkat mayatnya boleh menjadi
sedemikian rupa?
Saya lihat wajah anak Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu,
terperanjat dan aib dengan apa yang berlaku kepada bapa mereka. Saya tengok
dua orang pembantu tadi, mereka juga terkejut dan panik. Lalu saya bacakan
doa untuk mengelakkan badi mayat dan sapukan ke muka mereka.
Saya kata kepada mereka, "Inilah ujian Allah kepada kita". Kemudian saya
minta salah seorang daripada pembantu tadi pergi memanggil semua anak
Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang beruntung kerana
mempunyai tujuh orang anak, kesemuanya lelaki. Seorang berada di luar negara
dan enam lagi berada di sini.
Apabila kesemua anak Allahyarham masuk, saya marahi mereka. Saya
mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah membantu menguruskan
jenazah bapa mereka, bukan menguruskan sepenuhnya tanggungjawab tersebut.
Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih arif dalam menguruskan
jenazah bapa mereka itu, bukannya tuk imam, tuk bilal atau tuk siak.
Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah
memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa. Tetapi saya
kesal kerana pada saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung
hendak membalas jasa bapa mereka itu.
Saya kemudian meminta izin serta bantuan mereka untuk menonggengkan mayat
itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja mayat tersebut tiba-tiba
keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen banyaknya. Besen itu
boleh dianggarkan besar sedikit daripada penutup bilah kipas meja.
Subhanallah.
Suasana menjadi makin panik. Saya terus bertenang dan berharap tidak berlaku
lagi kejadian-kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu saya mandikan semula
mayat tersebut dan saya ambilkan wuduk. Saya minta anak-anaknya mengambil
kain kapan. Saya bawa mayat ke dalam biliknya dan tidak izinkan seorang pun
melihat upacara itu kecuali waris terdekat sebab saya takut perkara-perkara
yang lebih aib akan berlaku.
Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini diletakkan di atas kain
kapan itu cukup-cukup memarasi hujung kepala dan kaki, tidak ada lebih. Maka
saya tak boleh nak ikat kepala dan kaki. Tidak keterlaluan kalau saya
katakan seperti kain kapan itu tidak mahu menerima mayat tadi.
Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil
baki kain, saya potong dan tampung di tempat-tempat yang kurang. Memang kain
kapan itu jadi tidak berapa elok, tapi apa nak buat itu saja yang boleh saya
lakukan. Dalam masa yang sama saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jangan
kau hinakan jenazah ini ya Allah. Cukuplah sekadar peingatan kepada hamba-Mu
ini".
Selepas itu saya beri taklimat tentang sembahyang jenazah. Tiga kali
taklimat diberikan, yang hadir cuma 13 orang sahaja. Selepas sembahyangkan
jenazah tadi, satu lagi masalah timbul. Jenazah itu tidak dapat dihantar ke
tanah perkuburan kerana tidak ada kereta jenazah- Saya hubungi JAWI, JAIS,
Pusat Islam, DBKL, polis dan sebagainya tapi peliknya, mereka juga tidak
mempunyai kereta jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan.
Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu
meminta saya tunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van dari
garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van. Tapi ketika dia sedang
mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di rumah Allahyarham, tiba-tiba
isterinya keluar. Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak ramai,
Abang, saya tak benarkan kereta saya ini digunakan untuk angkat jenazah itu
sebab semasa hayatnya, dia tak pernah benarkan kita naik keretanya."
Renungkanlah, kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita
yang lembut hatinya akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van
itu bawa balik vannya.
Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu
mendakwa dia anak murid saya. Dia meminta izin daripada saya dalam 10-15
minit untuk bersihkan 'keretanya' itu.
Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu, muncul 'kereta' tersebut, tapi dalam
keadaan basah kuyup. 'Kereta' yang dia maksudkan itu sebenarnya lori dan
lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam.
Renungkanlah, pernahkah kita satu jenazah dibawa ke kubur dengan lori ayam.
Dalam perjalanan menuju kawasan perkuburan, saya berpesan kepada dua orang
pembantu saya supaya ahli masyarakat tidak payah bantu kami menguburkan
jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi ke kubur saudara-mara dan sahabat
mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi peisiwa
ganjil.
Rupa-rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi-takdir Allah
yang terakhir, yang amat memilukan. Apabila sampai saja jenazah ke kuburnya,
saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang dan tiga orang lagi
turunkan jenazah.
Takdir Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba-tiba
air hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah bumi yang asalnya kering
Hari itu tidak ada hujan, tetapi dari mana datangnya air itu?
Sukar untuk saya menjawabnya. Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya
sendalkan jenazah bapa mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia terlentang
atau terlungkup.. . nauzubillah. Kalau mayat terlungkup.. . tak ada harapan
untuk mendapat syafaat nabi.
Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut. Selepas itu
kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan apabila hujan ia tidak mendap.
Tetapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang diinjak itu menjadi
becak. Saya takut, jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air hitam yang
busuk itu. Melihat keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak Allahyarham
supaya berhenti menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku meter, kubur
itu tidak dikambus hingga permukaan lubangnya, tetapi ia seperti kubur yang
berlubang.
Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak bacakan talkin, saya tengok
tanah yang diinjak itu ada serapan air. Masya-AHah, dalam sejarah hidup saya
inilah julung-julung kali peistiwa seperi itu terjadi. Melihat keadaan itu,
saya ambil keputusan untuk selesaikan pengebumian secepat mungkin.
Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya
tidak talkinkan. Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas.
Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya
bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah dilakukan Allahyarham
semasa hayatnya. Apakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat harta
secara merampas, menipu, rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim?
Isteri Allahyarham tidak dapat memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia
malu untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah. Tapi sedihnya
sehingga sekarang tidak seorang pun anak Allahyarham menghubungi saya.
Untuk pengetahuan umum, anak Allahyarham merupakan orang yang berpendidikan
tinggi hingga ada seorang yang beristeri orang Amerika, seorang dapat isteri
orang Australia dan seorang lagi isterinya orang Jepun.
Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu saya menguruskan
jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka menyesal membantu saya
menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham telah
menjadikan mereka sebagai musuh. Saya betanya, adakah mereka menceritakan
kisah itu kepada masyarakat? Mereka kata "Tidak". Peristiwa ini akan tetap
saya ingat sampai bila-bila.
Kepada masyarakat tanyalah diri kita, adakah kita mahu peristiwa itu terjadi
pada diri kita sendiri, ibu bapa, anak atau kaum keluarga kita? Adakah kita
mahu peristiwa ini berlaku lagi berulang-ulang kali dan hingga sampai satu
masa nanti, menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?
Sumber: Mastika