0 Setitik Pun Jadilah

Say's Phoebe (Sayornis saya), California, Unit...Image via Wikipedia

SAYA tenung wajah ayah dalam-dalam. Kelopak mata kanannya sedikit terbuka.

Saya seluk kocek. Gagau kalau-kalau ada syiling. Tiada, Saya tawakal, kelopak mata ayah saya sentuh perlahan dengan hujung jari telunjuk agar ia terkatup cantik, Alhamdulillah... hasrat saya tercapai!

Saya tenung lagi, bagaikan itulah pertama kali menatap wajah ayah. Sayu, hiba dan rasa terkilan bercampur-baur.

Perasaan berkocak, dada sebak. Ada sesuatu yang membekam di hati.

Tanpa sedar air jernih bertakung pada kelopak mata, Kemudian setitis-setitis ia membasahi alur celahan antara hidung dan pipi.

Saya seluk kocek sekali lagi, keluarkan sapu tangan.

Sewaktu diangkat ke muka, bergolek syiling 20 sen jatuh daripada lipatannya. Saya biarkan syiling itu tumbang sendiri di hujung bantal yang mengalas kepala ayah.

Hasrat menyapu air jernih yang meleleh saya lupakan. Saya biarkan ia jatuh menimpa ribaan saya yang kosong.

Surah Yasin di tangan saya lepaskan perlahan-lahan. Sekali lagi saya gagal meneruskan bacaan.

Perasaan terkilan kerana tidak menunaikan permintaan terakhir ayah bertandang semula.

Kata-kata ayah terngiang-ngiang di telinga.

"A... a.,,, a,,, ayah nak air! Tekak ayah kering..,!" suara ayah terketar-ketar antara dengar dan tidak. Matanya masih dipejamkan.

Ketika itu saya benar-benar tercabar - antara kasih dan peraturan, antara memenuhi permintaan orang yang paling dikasihi dan peraturan hospital yang melarang pesakit bakal dibedah mengambil sebarang makanan ataupun minuman.

Saya cuma ada satu pilihan!

Terlalu mengharapkan ayah sembuh, setelah berfikir sejenak saya memilih untuk mematuhi peraturan. Apalagi melihat seluruh badan ayah dipenuhi berbagai-bagai wayar, saluran air dan darah.

Walaupun keputusan itu mungkin tindakan paling zalim saya lakukan demi kasih pada ayah.

"Esok ayah nak dibedah. Selesai nanti, ayah minumlah puas-puas," kata saya memujuk. Lagipun ini bukan kali pertama ayah melalui pembedahan... dah enam kali!

Daripada riak mukanya, ayah terguris dengan kata-kata saya. Dia membuka mata, menyengetkan kepala ke kiri dan kemudian ke kanan. Perlahan-lahan ayah cuba bangun, suatu tindakan membantah keputusan saya. .

Ayah saya tinggalkan berseorangan. Bukan kerana marah atau kecewa, cuma tak sampai hati melihat riak wajahnya.

Saya ke kaunter pertanyaan dengan harapan saya dapat bertemu doktor bertugas. Hasrat saya cuma satu, meminta kebenaran agar dapat memberikan seteguk dua air untuk ayah.

Berhadapan sahaja dengan petugas beruniform putih itu serta-merta lidah menjadi kelu. Tujuan meminta kebenaran saya lupakan, lantas saya kembali ke katil ayah.

Sekali lagi ayah meminta air.

"Setitikpun jadilah...!" katanya merenung tajam wajah saya.

Ahhhhhh...! Saya kembali kepada diri sendiri sebaik terasa tangan menyentuh bahu saya.

Imbasan bersama ayah yang masih bernafas petang semalam terhenti. Saya toleh kiri... kosong. Saya toleh kanan... juga kosong.

Saya amati sekali lagi. Ya, pasti, tidak ada sesiapa yang mencuit bahu saya.

Nyata belum ada jiran tetangga yang datang berziarah kerana hari masih terlalu pagi. Masih gelap di luar!

Walaupun kematian ayah sudah sampai ke pengetahuan seluruh kariah subuh tadi, jasadnya masih berada di dalam bilik, tempat asal sebaik tiba dari Hospital Teluk Intan subuh tadi.

Saya amati sekali lagi. Sah, tiupan angin yang masuk melalui tingkap yang terkuak menyebabkan langsir bilik sedikit beralun dan menyentuh bahu saya.

Saya abaikan segalanya. Seluruh fikiran dan tumpuan saya tumpahkan ke wajah ayah yang sememangnya saya biarkan terbuka. Saya mahu menatap wajah ayah sepuas puasnya sebelum tetamu tiba.

Wajah ayah bersih tetapi kelopak sebelah kanan mata ayah kembali sedikit terbuka. Saya raup lagi agar tertutup.

Alhamdulillah! Bacaan Yasin oleh saudara-mara masih berkumandang.

Sementara di luar bilik waris-waris sibuk berbincang, adik-adik datang bertimpuh sebelah menyebelah saya. Mereka mungkin tidak memahami kenapa abang sulung mereka teresak-esak sayu. Saya kerling dengan ekor mata.

Ahhhhh,.. rupanya mereka juga menangis.

Saya tahu tangisan mereka kerana kehilangan ayah, lama setelah kami menjadi piatu selepas kematian ibu beberapa tahun sebelum ni. Tapi tangisan saya lain. Saya menangis kerana kesal tidak memberikan setitik air yang cukup diperlukan ayah saat ayah betul-betui kehausan.

Saya tenung lagi muka ayah. Berkali-kali saya cuba menutup mata ayah tetapi setiap kali itu juga mata ayah kembali terbuka. Saya terkenang kata-kata orang tua...

"Kalau ada sesuatu yang dihajati seseorang tidak tercapai, dia akan mati celik!"

Lalu saya ambil syiling 20 sen di hujung bantal yang mengalas kepala ayah dan tindih mata ayah dengan harapan kali ini mata ayah tidak terbuka lagi. Saya tidak sanggup melihat mata ayah kembali terbuka.

Kekesalan itu saya tanggung hingga ke hari ini. Sesekali, terutama semasa bersendirian, saya kerap mengungkap kata-kata:

"Maafkan saya ayah... maafkan! Tidak terniat untuk saya melukakan hati ayah. Saya lakukan kerana terlalu menyayangi ayah."

Dan sampai kini, walau telah enam tahun berlalu, setiap kali mahu membasah tekak, saya teringatkan kata-kata ayah:

"... setitikpun jadilahh!"

Latiff Yusoff, Kuala Lumpur

Enhanced by Zemanta

 

kkawan blogspot 2013 Copyright © 2013 - |- Template created by PaksuTrubo - |- Powered by Blogger Templates