0 Pelawak Yusof Chong Meninggal Dunia

Yusof Chong meninggal dunia di Hospital Selayang petang Ahad. Gambar ihsan Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon veteran terkenal, Yusof Chong meninggal dunia di Hospital Selayang dekat sini, kira-kira 3.30 petang Ahad akibat komplikasi penyakit, termasuk sakit jantung dan darah tinggi.
Beliau berusia 63 tahun.
Allahyarham dirawat di hospital itu sejak lima hari lepas setelah mengalami komplikasi penyakit tersebut.
Anak ketiga Allahyarham, Ahmad Nuzul, 28, berkata kali terakhir beliau bertemu ayahnya kira-kira 1 petang tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Kali terakhir jumpa dengannya, ayah beritahu dia tidak akan sambut raya tahun ini bersama kami lagi.
“Sebelum ini, ayah menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 22 Ogos lalu selepas mengadu sakit semasa dalam perjalanan pulang ke kampung di Jeniang, Sik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Selayang Mulia, Batu Caves malam Ahad.
Ahmad Nuzul berkata berikutan kesukaran keluarga menziarahi Allahyarham, beliau memohon pihak hospital untuk memindahkan bapanya ke Hospital Selayang.
Allahyarham menghidap penyakit jantung sejak tahun 2000 yang memerlukannya kerap mendapatkan rawatan.
“Akibat penyakitnya itu, saya sentiasa menemani ayah dan mengikutnya ke mana-mana acara atau tempat ayah membuat persembahan,” katanya.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai bapa yang periang, bertanggungjawab dan sangat mengambil berat perihal anak-anaknya.
“Memang sedih dengan pemergian ayah, terutamanya pada hari-hari akhir Ramadan. Namun kami sekeluarga redha kerana tuhan lebih menyayanginya,” katanya.
Selain Ahmad Nuzul, Yusof meninggalkan empat lagi anak iaitu Zaliana, 32, Ita Zahirah, 30, Ahmad Shatri, 24, dan Siti Nurbaya, 20.
Isterinya, Zaleha Osman meninggal dunia pada 1994.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Ulu Yam selepas solat tarawih malam Ahad.
Sementara itu, presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata kematian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada industri hiburan negara.
“Ini satu perkara yang amat menyedihkan semua orang…beliau merupakan seorang pelawak yang telah mengharumkan nama negara, dan seorang yang berbakat besar dalam industri hiburan,” katanya.
Allahyarham terkenal dengan lawak jenakanya yang sering meniru gaya beberapa tokoh negara. – BERNAMA
 

kkawan blogspot 2013 Copyright © 2013 - |- Template created by PaksuTrubo - |- Powered by Blogger Templates