CERITA RAYA SHAHRIL DAN ATIKAH : PENYAMPAI BERITA RTM
Aidilfitri yang tidak berapa lama lagi menjelang mengajak warga kota pulang ke pangkuan keluarga di kampung halaman masing-masing. Maka hiruk pikuk kesibukan kota raya bakal lenyap seiring berlalunya bulan Ramadan, bulan ibadah penuh keberkatan. Namun masih ada sebahagian warga kota yang terpaksa berkorban demi menunaikan tanggungjawab terhadap kerjaya tatkala insan lain meraikan sambutan Aidilfitri bersama yang tersayang.
Athikah Mohd Naim
Mohamed Shahril Sarapudin
Tidak terkecuali dua orang bekas peserta rancangan realiti pencarian penyampai TV terunggul, Penyampai Ikon 2009 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini menggalas tugas berat sebagai penyampai berita dan wartawan penyiaran di saluran RTM.
Dua wajah baru ini adalah Mohamed Shahril Sarapudin, 22 dan Athikah Mohd Naim, 24 yang kini bergandingan menjadi peneraju slot Berita Wilayah dan Berita Semasa sejak setahun lalu. Dua penyampai ini bukan sahaja berbakat besar malah mempunyai pakej lengkap untuk bergelar wartawan penyiaran dan personaliti TV berkaliber pada masa depan sekali gus memantapkan lagi dunia penyiaran milik kerajaan ini.
SHAHRIL SIBUK BERTUGAS DI PAGI RAYA
Mengenali Shahril anak sulung dari lima orang adik beradik ini berkata, “Tahun ini merupakan tahun pertamanya berpuasa dan beraya di rantauan jauh dari keluarga. Namun dengan adanya rakan-rakan setugas yang turut sama bekerja mungkin sedikit sebanyak mengubat kerinduan keluarga tatkala orang lain sibuk bersama keluarga dipagi raya.” Bagi beliau bertugas di pagi raya merupakan satu pengorbanan yang harus dilakukan demi menyalurkan maklumat-maklumat yang berguna kepada masyarakat.
Penyampai Berita Wilayah kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini mempunyai pandangan tersendiri apabila ditanya mengenai sambutan Hari Raya. Menurut Shahril, Hari Raya adalah hari untuk umat Islam bermaaf-maafan dan membuka buku baru kearah kehidupan yang lebih harmoni. Jika di Kelantan, mengunjungi rumah sanak-saudara merupakan aktiviti wajibnya bersama keluarga sepanjang sambutan hari raya kerana bukan sahaja dapat mengeratkan lagi pertalian saudara malah dapat bertemu saudara jauh yang jarang berjumpa.
Walaupun terpaksa bertugas di pagi raya beliau tetap membuat persiapan dengan sepasang baju raya dan pelbagai biskut yang sudah ditempah lebih awal selain kek coklat yang sememangnya menu wajibnya. Namun pemuda tinggi lampai ini mengakui apa yang bakal dirinduinya di pagi raya adalah laksa penang dan ketupat masakan ibunya
ATHIKAH SEMINGGU BERSAHUR MI SEGERA
Berbeza pula bagi Athikah atau Athikah Mohd Naim, graduan Diploma Pendidikan dari Kolej Islam Antarabangsa. Ketika diajak menceritakan pengalamannya berpuasa, beliau sejujurnya mengakui pernah bersahur dengan hanya makan mi segera selama seminggu semasa tinggal di asrama. Justeru puasa tahun ini amat bermakna baginya apabila sempat berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga tersayang di kampung halamannya di Tumpat, Kelantan.
Bercakap mengenai hari raya, baginya hari istimewa ini paling bermakna buat seluruh umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan penuh keberkatan, bulan Ramadan Al Mubarak. Keletihan berpuasa selama sebulan lenyap begitu saja, apabila dapat pulang menyambutnya bersama keluarga dan sanak saudara di samping dapat menjamah hidangan istimewa juadah hari raya.
Berbanding rakan setugasnya Shahril, Athikah telah lebih awal menyediakan tiga pasang pakaian hari raya pada tahun ini selain turut membeli kuih raya untuk hidangan tetamu yang datang. Gadis kecil molek dan manis bertudung ini, dijadualkan menyampai berita bersama rakan setugasnya, Shahril bermula raya pertama dan merancang pulang ke kampung pada hari raya ke-enam untuk bersama keluarga tercinta.
Menurut beliau, kali ini merupakan pengalaman pertama bertugas di pagi raya. Malah dia juga tidak ketinggalan memanfaatkan sambutan Aidilfitri penuh keberkatan ini dengan bersama-sama ahli keluarganya menunaikan solat hari raya di samping menziarahi sanak-saudara adalah satu kewajipan bagi beliau setiap pagi raya.
Namun kerana dijadualkan bertugas tahun ini, pembaca berita yang tidak lokek dengan senyuman ini menganggapnya sebagai pengorbanan yang perlu dilakukan kerana tanggungjawab terhadap kerjaya yang dipikulnya sekarang. Berkongsi lagu raya yang menjadi kegemaran anak gadis berusia 22 tahun ini adalah lagu Satu Hari di Hari Raya nyanyian M.Nasir dan juadah kegemaran di pagi raya lontong dan ketupat.