Sumber http://www.hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Kegebuan dan kemampuannya memiliki ramai anak mungkin dicemburui wanita lain, tapi semua itu tidak datang bergolek.
Sebaliknya, Maizawati Zainal, 35, yang namanya tersohor dek kontroversi dengan bekas suaminya, Akhil Hayy, mengamalkan enam petua bagi melengkapkan impiannya menjadi wanita ‘sempurna’ di mata lelaki.
Menurut Maizawati atau lebih mesra disapa Maiza, petua utama adalah berpantang selepas melahirkan anak kerana percaya proses berkenaan dapat memulihkan tenaga dan memelihara kecantikan.
“Saya cuma mengamalkan berpantang. Saya yakin dengan kebaikan amalan tradisional itu selepas mendengarnya daripada ibu saudara. Proses berpantang membuang darah kotor dan wanita yang melahirkan anak beruntung kerana susah hendak diserang penyakit kronik.
“Ketika berpantang, saya memakan makanan yang boleh memanaskan badan dan makan jamu serbuk kerana percaya kesan pemulihan lepas bersalin lebih cepat. Sepanjang berpantang, saya banyakkan minum air akar kayu walaupun ia pahit. Saya berpantang selama setahun tidak minum ais dan minuman berkarbonat,” katanya.
Dia yang kini menjalankan perniagaan Madu Herba Maiza — produk kesihatan dengan campuran habbatussauda — turut memasukkan madu sebagai amalan pemakanan harian.
“Saya turut amalkan meminum madu setiap pagi dan malam bagi membantu meningkatkan antibodi tubuh dan awet muda,” katanya yang berminat menceburi bidang lakonan jika tiada aral.
Model sambilan itu memaklumkan, dia dinasihatkan doktor supaya banyak berehat dan mengurangkan aktiviti harian bagi menjaga kehamilan disebabkan terlalu aktif dan banyak berdiri.
“Selepas disahkan hamil dan berlaku pendarahan, saya perlu mengurangkan aktiviti harian dan banyak berehat seperti dinasihatkan doktor. Alhamdulillah saya tidak mabuk, cuma berlaku pendarahan kerana terlalu aktif. Selepas ujian imbasan dilakukan, bayi dalam rahim aktif,” katanya.
Ternyata Maiza yang kini meniti hari bahagia bersama suami baru, Mohd Yassin Ben @ Abd Rahim, 23, bertuah kerana tidak perlu menunggu lama selepas akad nikah, sebaliknya ‘bunting pelamin’ dan dijangka menyambut kelahiran anak terbaru, Mei depan.
‘Kesuburannya’ yang bakal menimang cahaya mata ketujuh pada usia 35 tahun — sesuatu yang jarang dialami wanita moden hari ini — turut membuatkan ramai wanita di luar sana mengagumi dan tertanya-tanya rahsia awet mudanya.
“Tiada rahsia besar memiliki ramai anak. Tambahan pula, keluarga ibu mempunyai ramai adik beradik. Saya bersyukur kerana disahkan hamil dan menganggapnya sebagai rezeki Allah. Tidak sangka hamil dalam waktu terdekat ini kerana kami tidak merancang apa-apa,” katanya.
Menurutnya, dia mengesyaki dirinya hamil apabila lewat datang bulan sebelum melakukan ujian kehamilan di rumah.
Selepas ujian itu menunjukkan tanda positif, Maiza mendapatkan pengesahan doktor dan disahkan hamil dua bulan.
“Sebenarnya kalau difikirkan, saya takut hendak mengandung. Proses mengandung dan melahirkan anak masih segar di ingatan. Suami gembira dengan berita itu dan meminta saya banyak berehat. Dia mengambil berat makan minum serta melarang saya melakukan kerja berat,” katanya.
Maiza mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Akhil Hayy iaitu Siti Nur Maisarah, 13; Mohd Syarif Idayatullah, 12; Mohd Syakir Idayatullah, 9, dan Mohd Syatiri Idayatullah, 3. Manakala dua lagi anak, Dania Sofea, 17, dan Danial Arif, 16, adalah hasil perkahwinan dengan bekas suami pertamanya.
Model sambilan itu sebelum ini dikenali berikutan kesnya ditinggalkan bekas suami, bercerai dan kemudian dicemuh kerana berpasangan dengan lelaki lebih muda 12 tahun daripadanya.
Biarpun perkahwinan barunya mengundang pelbagai persepsi, Maiza berkata, dia tidak bimbang perbezaan usia kerana yakin Mohd Yassin mampu menjadi suami dan ayah kepada anaknya serta menjadi pelindung keluarga.
>PETUA MAIZAWATI
1. Amalkan berpantang
2. Amalkan makan makanan panas
3. Makan jamu serbuk
4. Minum air akar kayu
5. Elakkan minum ais dan minuman berkarbonat selama setahun
6. Minum madu setiap pagi dan malam