“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
“Alhamdulillah Ya Allah…akhirnya amanah ku selesai juga…,”bisik hatinya sambil bibirnya mengukir senyuman.
Hatinya terasa lega sebaik sahaja semuanya tamat. Di jemput oleh pihak pentadbiran sekolah pada saat-saat akhir kerana penceramah yang asal tidak dapat hadir atas sebab tertentu. Hatinya puas dapat laksanakan amanah ini walaupun kepenatan masih terasa dengan program sebelumnya.
“Terima kasih diucapkan kepada Ukhty Miftahul Jannah diatas penyampaian ceramah motivasi yang disampaikan sebentar tadi. Sebagai penghargaan dari pihak kami, saya menjemput pengetua sekolah untuk naik ke pentas bagi menyampaikan sedikit cenderahati kepada Ukhty Miftahul Jannah. Dengan segala hormatnya dipersilakan”, ucap pengerusi majlis program motivasi “See U Di IPT”.
Puan Mawaddah berjalan naik ke pentas. Seketika kemudian, Jannah naik ke pentas untuk mengambil cenderahati sebagai tanda penghargaan buat dirinya walaupun pada mulanya dia menolak.
Setelah itu, mereka berjalan beriringan diikuti beberapa lagi guru lain dan ahli jawatankuasa program ke kantin sekolah untuk menjamu jamuan ringan.
“Bagus penyampaian kamu tadi ya, saya suka. Gaya penyampaian dan isi di dalamnya cukup bernas dan membakar semangat sampai saya pun jadi termotivasi bila dengar…hehe…”, puji Puan Mawaddah sambil memegang bahu Jannah.
“Alhamdulillah…semuanya dari Allah s.w.t… masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki puan,” Jannah mengukir senyuman, cuba untuk merendahkan diri.
“Eh, jemputlah makan. Jangan malu-malu ya,” pelawa Khadijah selaku AJK makanan bagi program “See U Di IPT”.
“Kamu pun jemputlah makan sekali,” ajak Puan Mawaddah.
“Tak mengapalah puan, sekejap lagi kami makanlah. Perlu raikan tetamu yang hadir dulu…” senyum Khadijah sambil menuangkan air ke dalam cawan.
XXXXXXXXXXXXX
Jannah bangun untuk membasuh tangannya. Dia menoleh ke luar pintu, melihat gelagat dan telatah adik-adik dengan berbagai ragam. Ada yang menyuap satu sama lain. Ada yang berjenaka sesama mereka. Sungguh indah sekali ukhuwah di antara mereka.
Lalu dia tersenyum. Teringat kenangan manis sewaktu masih menjadi penuntut universiti dulu bersama arwah sahabat baiknya. “Alhamdulillah…Allah s.w.t. permudahkan segala urusan kita. Berjaya juga kita laksanakan program nie walaupun banyak sangat halangan. Apa pun, kita mesti teruskan perjuangan. Jangan lupa janji kita lepas habis belajar nanti, sama-sama berjuang untuk Ummah di luar sana. Seandainya ana ditakdirkan pergi dulu, ukhty mesti teruskan perjuangan nie ya…” Rupanya itu adalah pesanan terakhir dari arwah sebelum dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
“InsyaAllah ukhty, amanah itu akan ana tunaikan hingga diri ini turut dipanggil Ilahi”, bisik hatinya. Dia berlalu ke meja makan lantas membisikkan sesuatu di telinga Puan Mawaddah.
“Puan, saya nak keluar sekejap. Nak jumpa adik-adik sebelum balik…” Puan Mawaddah hanya menganggukkan kepala tanda setuju.
Jannah melangkah keluar.
“Ukhty...jemputlah duduk dekat sini”, pelawa seorang adik sambil menarik kerusi untuk dia duduk.
“Terima kasih…,” kata Jannah.
“Sama-sama ukhty. Baguslah ceramah ukhty tadi, suka tengok. Nampak berkeyakinan bila berkata-kata, banyak sangat input yang kitaorang dapat tadi…hehe ”. kata Naurah dengan penuh semangat.
Jannah mahu tergelak melihat telatahnya. Nampak bersemangat sekali.
“Alah…dua hari lepas berkerut je muka tu. Kata tension la, stress la, takut la, itu la, ini la…hari nie lain pulak…macam-macamlah awak nie Naurah…hehe,” usik sahabat disebelahnya, Syifa’.
Naurah tersipu malu,“hehe…nampak sangat ke muka saya berkerut? Biasalah, exam dah nak dekat sangat nie. Macam-macam dugaan perasaan datang…hehe. Kejap rasa rajin, lepas tu malas plak. Bila bersemangat balik, stress plak”.
“Betul tu ukhty…saya pun kadang-kadang rasa macam tu juga. Takut kecewakan abi dan umie saya lagi. Makin dekat nak exam nie, makin stress dibuatnya. Bila fikir balik, gerun rasa hati nie nak hadapi exam STPM tak lama lagi” luah Wardah yang berada dihadapannya.
Jannah senyum melihat adik-adik dihadapannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Peringkat Menengah (STPM). Dia juga pernah melalui zaman sebagai seorang pelajar dan dia juga mengerti apa yang mereka semua rasainya kini.
“Ukhty faham apa yang adik-adik rasakan. Ukhty juga melalui zaman seperti yang adik-adik rasai kini. Seperti yang ukhty katakan pada ceramah motivasi sebentar tadi, ukhty juga melalui zaman kejatuhan. Sewaktu di zaman itu, ukhty selalu berada di kelas-kelas kebelakang. Diejek dan dipandang rendah oleh rakan yang sebaya dengan ukhty.”
“Bila keputusan PMR keluar, keputusannya tetap tidak memberansangkan. Bukannya ukhty tidak berusaha bersungguh-sungguh. Selalu buat study group dengan rakan sekelas, pergi tuesyen, jumpa cikgu, buat latih tubi dan macam-macam lagi.”
“Alhamdulillah…Allah s.w.t. kuatkan semangat ukhty untuk teruskan juga dan berusaha lebih lagi. Bagi ukhty, orang yang gagal mendapat sesuatu sebenarnya dia tidak gagal. Dia cuma hanya tersungkur sahaja kerana orang yang sebenar-benar gagal adalah bilamana dia berhenti dari terus mencuba dan menyerah kalah”.
Makin ramai yang datang dan mengerumuni meja mereka. Berminat untuk mendengar kata-kata yang terucap dari mulut Miftahul Jannah.
Jannah menyambung kembali, “Ingatkan kata-kata ukhty tadi? Tiada ada yang dapat kalahkan ku melainkan diri ku sendiri juga tanpa izin dari Allah s.w.t…”
Masing-masing menganggukkan kepala tanda masih ingat.
“setiap orang berhak dan punya hak untuk berjaya dalam hidup. Tidak ada yang mampu menghalang kita dari berjaya melainkan penghalang terbesar adalah diri kita sendiri. Jika hati terasa malas untuk belajar, rasa mengantuk bila mengadap buku, lawan perasaan malas dan mengantuk tu untuk tunduk pada perasaan rajin”.
“Berusahalah untuk menang dengan diri sendiri. Setelah berusaha bersungguh-sungguh barulah tawakal dan berserah diri kepada Allah s.w.t. untuk tentukannya”.
“ukhty pernah tak rasa lemah dan hadir perasaan untuk mengalah?” tanya Naurah.
“Sudah semestinya. Sedangkan Iman ada turun naiknya, kehidupan juga begitu. Kadang-kadang kita berada diatas, kadang-kadang kita berada di bawah. Di sinilah konsep dan slogan-slogan yang sering kita dengar para pejuang Islam laungkan di medan jihad iaitu “menang atau syahid” diaplikasikan. Jawab Jannah.
Syifa’ mengerutkan dahinya,“kita bukan nak pergi berjihad ukhty, apa kaitan dengan menang atau syahid pula?”
Jannah dan yang lain-lain tergelak kecil mendengar pertanyaan yang diajukan Syifa’. Tidak kurang juga ada yang ternanti-nanti penjelasan dari Jannah.
“Rasulullah s.a.w. bersabda, sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali. Habis ini diriwayatkan oleh At-Tarmizi dan Ad-Darimi. Jadi menuntut ilmu adalah jihad di jalan Allah s.w.t. dan orang yang menuntut ilmu laksana mujahid di jalan Allah s.w.t.”
Kedengaran ucapan Subhanallah di bibir setiap mereka yang berada disitu.
Jannah memandang adik-adik yang berada dihadapannya satu persatu, lalu dia menyambung kata-katanya,“kamu semua ini pejuang Allah s.w.t. dalam medan ilmu. Peranan kamu cukup besar buat Ummah. Jadi, tidak sepatutnya kamu menyerah kalah dan berundur sebelum diisytiharkan tamat. Aplikasikan konsep “menang atau syahid” itu dalam diri kalian semua.”
“Tamat disini bermaksud samaada kalian menang ‘pertempuran’ tersebut ataupun gugur di medan tempur. Kerana itu tidak ada istilah kalah dalam kamus hidup ukhty. Masih ingat kisah tentang pembukaan Kota Costantinople Oleh Sultan Muhammad al-Fateh?”
Ramai yang menganggukkan kepala menandakan masih ingat.
“Jadi, adik-adik mesti tahu bahawa Kota Costantinople berjaya dibebaskan setelah percubaan demi percubaan dibuat sejak beratus-ratus tahun lamanya. Panglima-panglima perang sebelum Sultan Muhammad al-Fateh terus berusaha untuk membebaskan Kota tersebut hingga mereka syahid. Malah tentera di bawah pimpinan baginda juga ramai yang syahid sewaktu melancarkan serangan sehinggalah akhirnya Kota Costantinople jatuh ke tangan Umat Islam”.
“Baginda adalah orang yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadisnya iait .Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”.
“Jika hidup mulia atau mati syahid menjadi idaman setiap panglima dan tentera Islam, pejuang dan penuntut ilmu juga seharusnya menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah hatta dijamu dengan berbagai mehnah dan tribulasi hidup dalam mencari ilmu,” jelas Jannah dengan panjang lebar.
“wah…wah..seronok betul tengok kalian berbual ya…”,usik Puan Mawaddah.
“Eh, bila puan ada dekat sini? Tak perasaan plak saya…hehe…”,terkejut Jannah melihat Puan Mawaddah tiba-tiba muncul dibelakangnya.
“Baru je…nampak bersemangat semua dengar Ukhty Miftahul Jannah berbicara. Lain kali boleh jemput lagi nie…hehe…”, kata Puan Mawaddah lagi.
“InsyaAllah puan jika Allah s.w.t. izinkan”, jawab Jannah.
“Baiklah adik-adik, sekarang waktu pengisian yang lain pula kan? Ingat pesan ukhty tadi ye, jangan pernah menyerah kalah. Ukhty doakan moga adik-adik semua berjaya di dunia dan akhirat, dan dapat menjejakkan kaki ke menara gading nanti…ameen”, pesan Jannah buat terakhir kalinya sebelum dia bersalam dengan adik-adik dan meninggalkan kantin.
Dia melihat sebuah kereta Myvi berwarna putih. “akak dah sampai agaknya”, bisik hatinya. Lantas dia melangkahkan kaki ke kereta tersebut dan meninggalkan perkarangan sekolah dengan semangat motivasi yang membara.