ini hanya gambar hiasa aje
PASIR PUTEH: Seorang wanita berusia 55 tahun yang tidak sampai 24 jam
diceraikan, ternyata kemaruk nafsu apabila dicekup berkhalwat dengan pasangan
berusia 34 tahun dalam serbuan di rumah warga emas berkenaan di Kampung Kuala
Semerak, awal pagi semalam.
Serbuan ke atas kediaman wanita yang berstatus nenek tapi berselera muda itu
dilakukan pasukan Skuad Amru bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan
(JAHEAIK) diketuai Ketua Operasinya, Ismail Yaacob, kira-kira jam 1 pagi, sebaik
mendapat maklumat awam.
Ketika serbuan dilakukan, wanita itu yang mempunyai beberapa cucu sanggup
berbohong dengan memberi alasan kononnya lelaki muda bersamanya di dalam bilik
tidur itu suaminya.
Tindakannya itu nyata gagal meyakinkan penguat kuasa agama dan pasangan itu
dibawa ke Pejabat Agama Pasir Puteh untuk diambil keterangan serta disoal siasat
sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Ismail berkata, serbuan ke atas rumah terbabit dilakukan hasil maklumat orang
ramai yang dikumpulkan sejak seminggu lalu berhubung kejadian khalwat yang
didakwa membabitkan seorang wanita warga emas bersama pasangannya.
"Berikutan aduan yang diterima, rumah itu diserbu penguat kuasa agama yang
mengetuk pintu rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang wanita warga
emas dalam keadaan berkemban beberapa minit kemudian.
"Ketika siasatan dilakukan, wanita itu berdolak-dalik dengan mengatakan lelaki
berseluar pendek yang tidur di biliknya adalah suaminya menyebabkan penguat
kuasa mencurigainya," katanya.
Katanya, tidak sampai lima minit disoal, wanita berkenaan menukar pengakuan
dengan mendakwa dia tidak tahu menahu kehadiran lelaki berkenaan yang didakwa
secara tiba-tiba berada dalam biliknya.
"Selepas disoal siasat, wanita itu mendakwa dia baru bercerai dengan suaminya
kira-kira jam 5 petang kelmarin, menyebabkan pasangan berkenaan terus disiasat
untuk dihadapkan ke mahkamah," katanya.
Ismail berkata, tiada orang lain berada di dalam rumah berkenaan ketika serbuan
dan sebagai warga emas, wanita itu tidak sepatutnya berkelakuan tidak senonoh
sebaliknya perlu menjadi teladan kepada cucunya yang remaja.
Berikutan itu, katanya, pasangan berkenaan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah
Pasir Puteh, di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri
Kelantan No 2/85 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau
penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.