0 Kenang P Ramlee Menerusi Program Aku, Dia & Lagu


RTM Kenang P.Ramlee Menerusi Program Aku, Dia & Lagu Pada 29 Mei 2011 di TV1
Seniman agung P.Ramlee memang hebat dan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana zamannya melangkaui kebolehan zaman kita. Beliau berjaya merealisasikan perjuangan masyarakat dalam semangat zamannya menerusi karya seni yang dihasilkan. Itu sesuatu yang hebat dan tidak dapat dinafikan realitinya.
Setelah berkongsi dengan peminat setia salurannya rancangan khas sempena memperingati pemergian Allahyarhamah Puan Seri Saloma pada 25 April 1983 di Hospital Assunta akibat penyakit kuning pada April lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghidangkan pula program khas mengenang pemergian seniman tersohor negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 24 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun.

TAN SRI P.RAMLEE ...karyanya dikenang sehingga kini

Genap 38 tahun pemergian Allahyarham P.Ramlee, RTM bakal berkongsi dengan penonton program bual bicara dinamakan Aku Dia Dan Lagu … P.Ramlee yang bakal disiarkan pada 29 Mei 2011, jam 9.00 malam di TV1 ini.
Episod ini merupakan suatu penghargaan dan pendedahan penuh nostalgia berpaksikan seorang legenda seni tanah air yang namanya tidak pernah pudar ditelan zaman.
Dokumentari ‘Aku, Dia & Lagu’ ini mengajak penonton mengimbas kembali kepada pengenalan kisah-kisah disebalik lagu klasik popular sejak era 1950-an.
Episod ini memfokuskan kepada karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui lagu-lagu terpilih seperti ‘Azizah’, ‘Lanang Tunang Tak Jadi’, ‘Menceceh Bujang Lapok’, ‘Senjakala’ hinggalah lagu terakhirnya, ‘Air Mata di Kuala Lumpur’.
Pertemuan pengarah filem ketika itu, B.S. Rajhans dengan Allahyarham dan permulaan karier seninya turut dijelaskan. Dokumentari ini mendedahkan inspirasi penulis lagu seperti Kassim Masdor dan Tan Sri P. Ramlee sendiri, serta penulis lirik seperti Yusnor Ef yang mendorong kepada penghasilan melodi dan seni kata yang masih menjadi siulan generasi muda sehingga kini.
Selain itu, tokoh-tokoh prolifik juga diwawancara, bukan sahaja dari industri seni tanah air, tetapi dari Indonesia, Rusia serta pusat pengajian tinggi serata tanah air. Antara tokoh-tokoh yang dipaparkan adalah seperti Pak Ngah, Datuk Jamil Sulong, Kassim Masdor, Misback Yusa Biran (Indonesia), Munif Bahasuan (Indonesia), Dr. Afifi Al Akiti (Profesor, Universiti Cambridge), Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin (Universiti Putra Malaysia), Benjamin McKay (Pensyarah, Monash University) dan Dr. Victor Pogadev (Rusia).
Saksikan lipatan suka duka dan kenali dengan lebih dekat lagi seniman terbilang ini pada 29 Mei 2011, jam 9.00 malam hanya di TV1.
 

kkawan blogspot 2013 Copyright © 2013 - |- Template created by PaksuTrubo - |- Powered by Blogger Templates