KUALA LUMPUR - Segala persoalan mengenai masa depan bintang muda bola sepak negara yang pulang secara mengejut dari kelabnya di Portugal kelmarin, Mohd. Nazmi Faiz Mansor terjawab dengan segera apabila dia sah menjadi milik PKNS, semalam.
Status itu juga menamatkan desas-desus bahawa kepulangan Nazmi ke tanah air hanya sebagai pemain pinjaman selama enam bulan dari S.C Beira-Mar, sebaliknya dia bukan lagi pemain kelab Divisyen Satu Portugal berkenaan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang berkata, Nazmi akan diperkenalkan sebagai pemain baru kelab itu pada sidang media di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, hari ini.
Ya... Nazmi sudah menjadi pemain baru PKNS dan dia akan beraksi di sini bukan sebagai pemain pinjaman seperti yang digembar-gembur sebelum ini.
Segala perkara mengenai dirinya boleh ditanyakan pada sidang media pada hari esok (hari ini), " katanya ketika dihubungi, semalam.
Sumber juga memberitahu Utusan Malaysia, Nazmi mengikat kontrak selama tiga tahun dengan skuad Abdul Rahman Ibrahim itu.
Walaupun menyertai PKNS di luar tempoh perpindahan, Nazmi dikatakan tetap boleh terus beraksi bersama kelab barunya itu di bawah kuota pemain bawah 21 tahun.
Perlawanan berikutnya PKNS adalah menentang Felda United dalam Liga Super pada 16 Februari ini.
Kepulangan bintang muda berusia 19 tahun itu ke tanah air pada Khamis lalu menimbulkan seribu satu persoalan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab membawa pemain itu ke Portugal tidak tahu menahu mengenai keputusan yang dibuat oleh Nazmi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130202/su_01/PKNS-sambar-Nazmi-Faiz#ixzz2JkUkyeXS
© Utusan Melayu (M) Bhd