Rumah kayu atau rumah kampung pada suatu masa dulu boleh dikatakan tidak asing bagi orang Melayu. Tapi dengan urbanisasi penduduk kini, ramai anak-anak Melayu yang tidak lagi mengenal apakah ciri bentuk sebenarnya rumah kayu tradisional maupun caranya dibangun tanpa paku.
Sebetulnya, lama sebelum kedatangan pengaruh luar dan telunjuk moden, penduduk asal Melayu dan Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera serta kaum Bumiputra/Pribumi lain di Borneo dan bagian lain di alam Melayu telah mempunyai sistem perumahan yang canggih, cantik dan serasi dengan gaya hidup dan alam sekitar.
Bahan binaan yang digunakan diambil dari sumber alam yang boleh diperbaharui, yakni pelbagai jenis kayu-kayan, juga buluh dan rotan hinggalah kepada daun-daun pelepah.
Kerangka atau struktur rumah pula menggunakan sistem tebuk-tembus dan pasak yang tidak memerlukan paku. Yakni pembinaan rumah papan Melayu sebenarnya ialah suatu sistem pasang-siap. Maka rumah itu boleh juga ‘ditanggal-buka’ dan di pasang semula di tempat lain, persis yang dibuat oleh Badan Warisan Malaysia untuk Rumah Penghulu Abu Seman, yang dipindahkan dari negeri Kedah ke Kuala Lumpur.
Selain itu, cara binaan tanpa paku juga membuatkan rumah lebih anjal (flexible), sehingga ianya boleh diangkat melalui ‘gotong-royong’ orangramai dan dialih tempat.
Dari sudut rekabentuk juga, rumah adat Melayu boleh dikatakan amat canggih dan memuatkan ciri-ciri bistari, lagi kena dengan gaya hidup selesa mengikut adat dan alam.
Ciri-ciri pintar ini termasuklah penyejukan atau pengudaraan semulajadi (natural ventilation), peneduhan (shading), keselamatan dan keamanan (safety and security) serta ‘kepersendirian’ (privacy).