0 Ikan Laga Janjikan Pulangan Lumayan

MEMANG agak pelik apabila mengetahui ada golongan wanita yang begitu berminat dengan ikan hiasanapatah lagi ikan itu pula adalah dari spesies BettaSplenden atau lebih dikenali sebagai ikan laga. Namun bagi Mariyati Abdullah, 54, dunia ikan hiasan bukan hak mutlak lelaki semata-mata malah beliau membuktikan lebih jauh lagi apabila menukarkan minatnya itu kepada sebuah perniagaan yang menguntungkan.
Membuka cerita ketika berkunjung ke kediamannya yang turut dijadikan kawasan penternakan ikan laga, Mariyati berkata, segala-galanya bermula daripada hobinya yang gemar membela ikan laga di rumah seperti kebanyakan orang. Hobinya itu juga telah mendorong beliau membeli lima pasang ikan laga dari Thailand yang kemudiannya membuka jalan kepadanya untuk menceburi dunia perniagaan dengan lebih serius. Baka-baka ikan yang dibeli ketika itu terdiri daripada varieti halfmoon, crown tail, short tail, double tail dan fighting fish selain spesies ikan laga liar. Tanpa diduga ikan laga yang dibelinya itu membiak dengan pantas dalam masa yang cukup singkat memaksanya membina kawasan penternakan yang berasingan dan lebih besar di sebelah rumahnya.
Melihat kepada sambutan orang ramai serta menerusi bantuan seorang rakan yang sanggup menjadi pengedar, Mariyati kemudiannya tekad menukar hobinya itu kepada cabang perniagaan dan mengusahakan penternakannya bersungguh-sungguh sehingga pernah mencapai 10,000 ekor dalam satu-satu masa. “Menariknya mengenai penternakan ikan laga ialah, ia sentiasa mendapat sambutan di kalangan orang ramai selain tidak ramai pengusaha yang benar-benar mengusahakannya untuk tujuan pasaran,’’ ujarnya.
Namun beliau mengakui, penjagaan ikan laga ini agak rumit dan cerewet terutamanya dari segi penjagaan air dan makanan yang merupakan dua aspek penting dalam memastikan peratus hidup anak-anak ikan laga tinggi. Air misalnya perlu digantikan dua hari sekali manakala makanan pula perlu diberikan sebanyak dua kali sehari. Selain dipastikan kandungan air yang tidak terlalu banyak, ia juga perlu bebas daripada klorin sama ada menggunakan teknologi penapis atau ubat anti klorin yang boleh didapati di pasaran. Sekiranya menggunakan air paip biasa pula, ia perlu dibiarkan terlebih dahulu sekurang-kurangnya selama 2 hingga 3 hari sebelum boleh digunakan.
Makanan pula diberikan pada sebelah pagi dan petang sama ada cacing merah atau jentik-jentik dan beliau sendiri turut menghasilkan cacing merah sendiri menggunakan kaedah yang dipelajari dari seorang rakan. “Cacing merah ini juga boleh didapati di mana-mana kedai ikan hiasan dalam bentuk tablet dan perlu dibasahkan dahulu sebelum diberikan kepada ikan laga. “Bagaimanapun, saya tidak menggalakkan ikan laga diberi makan pallet kerana ia boleh menjejaskan kualiti air,’’ katanya. Ikan laga tambah Mariyati, mampu membesar sehingga lima inci dengan jangka hayat hidup selama kira-kira dua tahun.
Ikan laga jantan lebih cantik dan lebih besar daripada betina dan kebiasaannya proses mengawan akan berlaku sebaik ikan laga mencapai umur kira-kira tiga bulan. Untuk tujuan mengawan, ikan laga jantan dan betina akan diletakkan di dalam bekas yang sama selama kira-kira dua hingga tiga hari dan proses mengawan dipastikan berlaku apabila ikan laga betina menjauhkan diri dari ikan laga jantan. Ketika ini, ikan laga betina akan diasingkan dan ikan laga jantan akan dibiarkan menjaga telur-telur ikan tersebut di dalam buihnya sehingga menetas iaitu kira-kira beberapa hari kemudiannya. Sebaik menetas anak-anak ikan itu yang berjumlah beratus-ratus ekor akan diasingkan bagi mengelakkan ia di makan oleh ikan jantan dewasa dan diletakkan di dalam bekas yang lebih besar.
Menurut Mariyati, ikan laga mendapat sambutan yang menggalakkan ekoran kecantikan dan keunikan warna serta corak yang terlukis pada sayapnya dan harganya semakin tinggi sekiranya kedua-dua faktor tersebut semakin terserlah. Sayap ikan laga itu juga semakin menghampiri bentuk separuh bulan iaitu seperti kipas yang sangat cantik pada usia dua setengah bulan sehingga empat bulan iaitu tempoh yang paling cantik dan ditunggu oleh peminatnya.
Berdasarkan pengalamannya, beliau pernah menjual seekor ikan laga pada harga RM250 iaitu gred terbaik manakala ikan laga pada harga pertengahan pula mencecah sehingga RM100 hingga RM200. Bagaimanapun, pasaran ikan laga yang dikeluarkan oleh Mariyati lebih menjurus kepada peringkat penggemar biasa iaitu pada harga kira-kira RM30 dan ke bawah. Ketika ini juga, jualan ikan laganya dalam seekor mencecah sehingga 3,000 hingga 4,000 ekor dan dijual secara kontrak dengan pengedar untuk di pasarkan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Malah, kawasan penternakannya juga tidak pernah sunyi dikunjungi oleh penggemar ikan laga yang datang dari setiap pelosok negeri untuk memilih sendiri ikan laga yang dihajati.
Selain menjalankan projek penternakan ikan laga sendiri, Mariyati turut mengambil upah membela ikan-ikan laga daripada individu lain seperti ikan laga liar yang baru sahaja diambil semula oleh tuan punya. Upah yang diperoleh daripada membela ikan laga ini juga tidak kurang lumayannya dan pernah mencecah sehingga RM600 hanya untuk tempoh beberapa bulan.
Sebagai perancangan masa depan, Mariyati bercadang untuk mendapatkan sebidang tanah dengan kerjasama Jabatan Perikanan bagi meluaskan lagi projek penternakan ikan hiasannya. “Sekiranya tiada halangan, kawasan baru itu nanti akan dibina berkonsepkan pameran dalam taman yang mana selain datang membeli ikan laga, pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat kecantikan dan keunikan ikan laga ini,’’ katanya. Malah, beliau juga yakin cita-citanya itu mampu dicapai apatah lagi dengan bantuan daripada Jabatan Perikanan dari segi penyediaan infrastruktur serta galakan yang diberikan supaya projeknya mampu dijadikan contoh dan rujukan kepada penternak baru.
 

kkawan blogspot 2013 Copyright © 2013 - |- Template created by PaksuTrubo - |- Powered by Blogger Templates